Biasa tak mendengar ungkapan kata kata ini? Pasti ada diantara kita sudah masak dan lali dengan ayat yang diucapkan oleh individu terutama lelaki. Perempuan pun ada juga yang cakap macam ni lebih lebih lagi bila tengah mabuk cinta. Apa sahaja kemahuan pasangannya, diikutkan sahaja janji hati dan nafsu puas. Lepas tu, bila kena tinggal menyesal tak sudah. Sudah terlewat kerana nasi sudahpun menjadi bubur.
Bagi mereka yang 'biasa' bercouple, ini memang lumrah asam garam dalam bercinta. Mereka (selalunya) hanyut dibuai asmara. Feeling habis sampai tak sedar, apa yang dibuat itu melanggar hukum hakam agama dan telah melampaui batas. Tidak ada sedikit pun perasaan malu sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT! Subhanallah.
Bila hanyut, hatta ibu bapa pun diabaikan. Ajaran dan pegangan menjadi taruhan dan setiap kali bila berdua, memang pihak ketiga tu siapa lagi kalau bukan syaitan yang sentiasa membuai perasaan ingin berbuat sesuatu yg selama ini tak terfikir dan terjangkau diingatan. Sebab itulah Nabi berpesan; kalau ada antara laki laki dan perempuan duduk di dalam satu tempat (hanya berdua sahaja), eloklah salah seorang beredar pergi kerana jika tidak, akan hadir 'pihak ketiga' yang memujuk dan menjentik hati kedua dua individu ini untuk datang mendekati. Bahaya tu!
Tapi kan, zaman sekarang kalau kita lihat ini adalah perkara biasa di mana individu lelaki bujang mahupun sudah berumah tangga duduk berdua dengan pasangan berlainan jantina adalah sesuatu yang normal. Biar di tempat gelap dan sunyi mahupun terang terangan. Apa orang kata, "couple" mestilah kena duduk dekat dekat dan berdua. Takkan bersendirian pula?
Mereka ini, tanpa segan silu berpeluk pelukan dan berpegangan tangan tanpa mengira sama ada itu adalah muhrim mereka atau tidak. Kalau sekiranya bukan Islam, tiada masalah sebab agama mereka tidak melarang seorang lelaki bertemu dan bermadu kasih dengan pasangan wanitanya. Tetapi tidak bagi umat Islam yang memang melarang keras (haram) seorang muhrim lelaki menyentuh seorang wanita yang bukan muhrimnya. Islam memang sangat indah dan menjaga batas terutama dalam perihal berkenalan dan berkawan.
Bila zaman dah moden, iman di dada sangat tipis hatta yang haram pun jadi halal. Sana sini, ada saja kes yang tidak enak didengar yang melibatkan lelaki bujang Islam ditangkap bersama pasangan yang belum dinikahinya. Bila ditanya kenapa duduk berduaan di dalam bilik hotel ni? Alasan yang diberi hendak berehat dan melepaskan lelah. Lelah apanya bila dicekup, yang lelaki dah separa bogel tidak berbaju dan si wanita pulak hilang tudung dan menekup kepala dengan kain tuala. Jadi, apakah itu?
Macam dah tak ada tempat nak berehat! Rumah sendiri ada, kenapa tak balik dan berehat di rumah sahaja?
Begitulah alasan yang diberikan oleh mereka mereka yang ingin berbuat maksiat. Sama ada terang terangan mahupun yang tersembunyi.
Ramai yang telah 'rosak' aqidah dan imannya kerana tiada lagi perasaan malu dan berdosa bila berdua dan "bersama". Benar kata mereka, "Eh, dosa aku aku punya sukalah. Kau sibuk, kenapa?"