Bila sebut mengenai penyakit kanser, umum mengetahui bahawa ia merupakan penyakit yang banyak dihidapi manusia. Tidak kira usia dan latar belakang, penyakit kanser adalah risiko pada semua makhluk yang bernyawa. Tanpa kita sedar, kita mengidapinya walaupun kadang, kita telah mengamalkan gaya hidup sihat.
Persoalannya kini, bagaimana seseorang itu boleh menghidapi penyakit kanser? Adakah penyakit ini disebabkan keturunan (genetik) atau ia boleh dihadapi dan dijangkiti dari orang lain? Benarkah penyakit kanser boleh merebak sama seperti penyakit AIDS dan lain lain?
Berdasarkan semakan Portal MyHealth, kanser boleh terjadi jika jenis sel telah hilang kawalan mekanisme dan membiak dengan sendiri tanpa dikawal oleh badan. Setiap sel di dalam badan mempunyai jangka hayat tersendiri untuk membiak dan berhubung kait dengan sel sel yang lain di sepanjang jangka masa kehidupan seseorang individu.
Dalam erti kata yang lain, sel sel ini adalah "hidup" dan sekiranya ia sudah sampai waktunya, ia akan terus membiak dengan sendiri tanpa dikawal oleh badan. Inilah yang dinamakan "KANSER" kerana kalau tidak dikawal, ia akan memudaratkan fungsi dan kesihatan badan.
Ada yang bertanya, adakah semua orang mempunyai sel kanser ini?
Jawapannya ialah "YA". Semua individu mempunyai sel kanser di dalam badan masing masing. Cuma yang membezakannya ialah sama ada sel sel kanser ini aktif ataupun tidak. Secara teknikalnya, sel kanser di dalam badan manusia tidak aktif kerana sel sel ini dikawal oleh sistem badan kita maka yang aktif cuma sel sel sihat badan sahaja.
Terdapat pelbagai jenis kanser antaranya kanser limfoma, kanser peti suara, kanser kepala dan leher (selalunya kanser otak), kanser perut, kanser darah (yang lebih dikenali sebagai leukimia), kanser hati, kanser kulit, kanser payu dara, kanser prostat dan lain lain lagi.
Terbaru, aku baru mengetahui bahawa ibuku sendiri telah menghidap kanser limfoma. Pada mulanya, aku sangat sedih bila mengetahui keadaan diri ibuku apabila mula perasan terdapat bonjolan di bahagian lehernya. Ibuku tidak mengesyaki apa apa yang aneh dan semenjak bonjolan itu muncul di lehernya. Semuanya seperti keadaan sedia kala.
Lama kelamaan, benjolan itu semakin membesar dan semakin menimbulkan masalah kepada ibuku lebih lebih lagi ketika hendak tidur. Memandangkan bonjolan itu semakin membimbangkan, aku telah berbincang dengan adik beradik dan membawa ibu ke hospital untuk diperiksa. Manalah tahu kan, kalau ada benda lain?
Limfoma adalah sejenis kanser yang berkaitan dengan sel, iaitu limfosit, yang terlibat dengan sistem imunisasi badan manusia. Sepertimana jenis kanser yang lain, limfoma terbahagi kepada jenis-jenis tertentu, hampir 35 jenis telah dikenal pasti, bergantung kepada jenis sel yang terlibat.
Sistem limfa dalam badan manusia adalah terdiri daripada sel-sel limfosit yang melalui jaringan saluran limfa ke seluruh badan, dan juga kelenjar limfa. Bendalir limfa akan membawa virus dan bakteria yang masuk kedalam badan, dan seterusnya akan di tapis di kelenjar limfa sebagai cara badan manusia bertindakbalas terhadap jangkitan kuman. Ini menyebabkan kelenjar limfa membengkak dan sakit. Sel-sel limfosit pula terbahagi kepada dua, iaitu B dan T linfosit yang masing-masing berperanan mengeluarkan antibodi dan mengaktifkan tindakbalas badan menghadapi serangan kuman.
Kanser berlaku apabila sel-sel ini mengalami perubahan tingkahlaku dimana ia tumbuh dan berkembang dengan tidak terkawal. Perubahan ini dinamakan ‘malignant transformation’, dimana ia menyebabkan pengumpulan sel yang luar biasa, pembengkakan kelenjar limfa, dan seterusnya merebak ke organ sekeliling dan juga tisu otak, usus, tulang, paru-paru dan sum sum tulang. Ini menyebabkan fungsi organ–organ penting terganggu dan kemerosotan tahap kesihatan pesakit, dan akhirnya boleh membawa maut jika tidak dirawat dari awal.
Limfoma terbahagi kepada dua kategori umum, iaitu Hodgkin dan Non Hodgkin. Kedua-dua jenis menunjukkan simptom penyakit yang serupa, dan pembengkakan boleh berlaku di mana– mana kelenjar limfa. Perbezaan diagnosis adalah penting, kerana jenis rawatan dan prognosis penyakit adalah berlainan. Ini dilakukan dengan penelitian dan ujian –ujian tertentu kepada sel- sel kanser, dan diagnosis penyakit boleh memakan masa yang lama, kerana sesetengah jenis limfoma adalah sukar dikenal pasti dan memerlukan kepakaran dalam bidang patologi, molekular dan genetik.
Sebab-sebab
Sebab–sebab sebenar limfoma terjadi adalah tidak diketahui. Tetapi, terdapat faktor-faktor tertentu yang menyumbang kepada terjadinya limfoma seperti berikut:
- Faktor umur : kanser limfoma meningkat dengan peningkatan umur seseorang. Dikatakan dalam golongan muda berumur 20 hingga 24 tahun, insiden limfoma adalah 2.4 kes dalam 100,000, tetapi meningkat kepada 46 kes dalam 100,000 dalam golongan dewasa berumur 60 hingga 64 tahun.
- Jangkitan kuman bakteria dan virus seperti HIV, EBV, helicobacter pylori, hepatitis B dan C.
- Penyakit yang merendahkan sistem imunisasi badan seperti :
- penyakit autoimmun
- penggunaan ubat immunosuppressive selepas pemindahan organ
- penyakit keturunan seperti ataxia telangectasia.
- Pendedahan kepada bahan toksik seperti : racun serangga, racun rumpai dan benzene.
- Genetik atau keturunan kanser.
Tanda-tanda
Tanda-tanda penyakit limfoma adalah seperti berikut :
- Pembengkakan kelenjar limfa yang tidak sakit, atau bengkak pada hati dan limpa.
- Demam berpanjangan
- Hilang selera makan
- Penurunan berat badan yang mendadak
- Rasa keletihan dan tidak bertenaga kerana kekurangan darah dan selera makan
- Ruam kulit dan kegatalan (boleh berlaku dalam 25 % kes , selalunya di bahagian kaki)
- Tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pembengkakan kelenjar limfa di bahagian tertentu seperti batuk dan sesak nafas (paru-paru), berak berdarah (usus), pening dan sawan (otak) atau kelumpuhan (sistem saraf).
Begitulah tentang hal ibuku selepas selesai menjalani ujian dan rawatan. Walaupun kanser limfoma tidak seperti yang lain, ibu tetap diwajibkan menjalani kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur. Ini semua demi menyelamatkan ibu dari penyakit yang dihadapinya.
Alhamdulillah, kini rawatan telah selesai dan limfoma di leher ibu telah susut/hilang. Tak pasti sama ada ia benar benar hilang atau masih disitu. Tapi dari mata kasar, kelihatan leher ibu telah kembali seperti sediakala. Aku bersyukur untuk ini dan berharap ibu kembali sihat seperti biasa.
Cumanya, efek dari rawatan kimoterapi hari tu telah menyebabkan memori dan ingatan ibu terganggu. Dia cepat lupa dan selalu tak ingat apa yang telah dibuatnya sebelum ini. Kadang letak barang sekejap pun dia tak ingat dimana. Tapi itulah, kalau tak buat rawatan kimoterapi, makin teruk pula kanser limfoma dia.
Jadi pilihan antara satu, pulih dari kanser limfoma tapi hilang memori atau kanser membiak dan ibu terseksa. Berat memang berat tapi itulah hakikat yang harus aku dan keluarga terima.