Sunday, 18 January 2015

Kalau kita melihat kepada wajah Syeikh Nuruddin Al-Banjari di sebelah, kita dapati wajahnya sangat bahagia. Wajahnya tenang dan damai, tetapi penuh kewibawaan.

Anda tahu apa erti bahagia? Apa tanda-tandanya? Mari ikuti hadis Nabi di bawah untuk mengetahui 12 tanda bahagia.

Dari Rakb Al-Mashri, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Berbahagialah"...


[1] Orang yang merendah diri tanpa mengurangi kedudukannya

Merendah diri bererti tawaduk. Bila seorang merendah diri, maka tuhan akan mengangkat darjatnya. Ia jadi mulia di mata orang ramai. Sebaliknya jika seseorang itu takbur (mengangkat diri sendiri), tuhan akan membenamkannya. Maka orang ramai merasa jijik dan sangat benci padanya.

Orang kaya, orang berpangkat, yang merendah diri semakin dihargai dan dimuliakan masyarakat. Sebaliknya jika dia takbur, berlagak, sombong, mengada-ada, nescaya semakin dibenci oleh msyarakat. Rumahnya kosong, perkataannya sepi, jiran-jirannya lari dan dia terbiar seperti kera sumbang.


[2] Orang yang menghinakan diri tanpa diminta melakukan demikian

Maksudnya, orang yang berpakaian biasa-biasa sahaja, atau makan biasa-biasa sahaja, sedangkan dia kaya atau mampu untuk bermewah-mewah. Dia mementingkan agamanya. Dia tidak mahu bermewah-mewah supaya dunia tidak masuk ke dalam hatinya.

Sekarang ini, ramai orang kaya atau yang berpangkat mengambil pendekatan begini. Mereka menyembunyikan diri mereka dari orang ramai supaya diri mereka kelihatan sebagai orang biasa. Mereka mahu menjadi hamba Tuhan yang faqir, hina, lemah dan kurang apabila berhadapan dengan Tuhan. Demikian tuntutan agama sebagaimana yang disyarahkan dalam kitab Al-Hikam. Mereka cuba mengelak dari sifat takbur.


[3] Orang yang membelanjakan harta yang dikumpulkannya pada jalan yang diredhai Allah

Bersedekahlah untuk jalan Allah. Paling mudah, anda bawa RM1 setiap kali solat Jumaat. Dalam sebulan RM4. Kalau anda ikhlas, ganjaran yang tuhan beri ialah 700 kali lipat. Maksudnya, dari RM4 yang anda sedekahkan, anda dapat RM2800. Banyak tu.

Cara mana anda dapat RM2800 tu, saya tak tahu, andapun tak tahu. Tidak ada sesiapapun yang tahu. Tetapi kita mesti yakin begitu. Ganjaran yang tuhan beri ialah 700 kali lipat berdasarkan keikhlasan individu. Kalau kurang ikhlas, kuranglah sikit ganjarannya.

Seperkara lagi, kalau anda ke Pasar Tani, Pasar Borong, Bandar Machang atau ke mana sahaja, kalau terjumpa orang minta sedekah, hulurkan sahaja. Jangan kedekut. Kata P.Ramlee, jangan kedekut tahi hidung masin (maksudnya kedekut sangat-sangat). Kalau 4 orang, baru RM4, ganjarannya sama seperti di atas.

Orang yang bersedekah, hatinya mulia. Tuhan sangat menyayanginya..


[4] Orang yang menaruh rasa belas kasihan kepada orang-orang yang lemah dan miskin

Ingatlah kepada satu hadis Nabi, " Barangsiapa menyayangi yang di bumi, nescaya dia akan disayangi oleh yang di langit". Janganlah mengherdik orang-orang yang lemah dan miskin. Bergaullah dengan mereka secara lemah-lembut. Hadirlah ke jamuan-jamuan di rumah mereka. Makanlah apa yang mereka hidangkan, walaupun seleramu tersumbat.

Menyayangi orang-orang lemah dan miskin merupakan sifat mulia Rasulullah. Baginda pernah makan bersama dengan orang yang berpenyakit kusta. Baginda tidak menunjukkan sifat jijik dan tidak mencemuh kehadiran mereka.


[5] Orang yang bergaul dengan ahli ilmu dan ahli hikmah

Kalau anda berkawan dengan Mat Gian, andapun mungkin jadi Mat Gian. Begitu juga kalau berkawan dengan Mat Rempit, Mat Botol dan sebagainya. Tetapi semua kawanan tersebut tidak menguntungkan anda.

Pilihlah ahli ilmu. Ikutlah dia ke surau atau masjid untuk mendengar kuliah agama. Atau anda belajar kat pondok untuk mendalami ilmu agama. Anda akan beruntung kalau jadi ahli ilmu. Katau Imam Syafie, ahli ilmu adalah manusia yang "menjadi".

Atau ikutlah ahli hikmah. Maksud ahli hikmah itu ialah orang yang bijaksana. Maksudnya apa? Iaitu orang yang memilih akhirat dari dunia.

Tanda ahli hikmat itu ialah mereka sentiasa mendekati Tuhan dan memperbanyakkan ibadat kepadaNya. Mereka sentiasa berjemaah di surau, banyak solat sunat, banyak berpuasa sunat, banyak berzikir dan sebagainya.

Mereka itulah orang-orang yang memetik kebahagiaan.


[6] Orang yang baik (halal) pencariannya

Syaidina Ali terkenal dengan sifatnya kuat berkerja untuk menyara isterinya, Siti Fatimah dan anak-anak mereka. Baginda Rasulullah sangat menyayanginya. Maka anda mesti tahu bahawa mana-mana suami yang bertungkus-lumus berkerja untuk keluarga, maka dia mendapat pahala yang banyak. Kerjanya itu sebagai ibadah.

Bila dia membeli makanan, pakaian atau lain-lain keperluan untuk isterinya, maka dia dapat pahala. Begitu juga jika dia berbuat sama untuk anak-anaknya, tanggungannya dan khadamnya. Diapun mendapat pahala. Alangkah banyaknya pahala seseorang itu jika baik (halal) pencariannya.

TETAPI INGAT, jika suami terjun kepada pencarian yang haram, maka semuanya menjadi haram. Dia mendapat dosa dari perbuatannya menyara keluarga menggunakan sumber yang haram itu.


[7] Orang yang lurus batinnya

Maksudnya, dia memiliki 3 sifat berikut di dalam dirinya. Dia JERNIH HATI, BERSIH HATI DAN MURAH HATI.

JERNIH HATI bermaksud hatinya tidak mempunyai sifat kufur dan syirik kepada Tuhan.Dia percaya sepenuhnya kepada Kalimah Syahadat.

BERSIH HATI bermaksud dia mengisi hatinya dengan segala sifat-sifat mahmudah (terpuji) sebagai ganti kepada sifat-sifat mazmumah (keji). Dalam kata lain, dia tidak DENGKI DAN IRI HATI kepada sesama Muslim. Dia menganggap semuanya bersaudara.

MURAH HATI bermaksud .dia suka bersedekah walaupun dengan sebiji khurma kepada rang lain. Dia tidak kedekut dalam hidupnya.


[8] Orang yang mulia zahirnya

Orang yang bila kita memandangnya, kita segera teringat kepada Allah Taala. Wajahnya membawa kita mengingati Allah. Inilah wajah yang hebat. Penampilan zahirnya membawa kita dekat kepada Allah Taala.


[9] Orang yang kejahatannya disingkirkan dari orang ramai

Sungguh beruntung dan berbahagia orang semacam ini. Dia terkenal baik dan semua orang menyukainya. Dia tidak pernah meyakiti hati rakan, kawan, kenalan, jiran atau sesiapa sahaja. Mulutnya bersih, hatinya bersih, anggota badanya juga baik.

Dia terkenal dengan gelaran yang mulia. Dialah lelaki soleh. Kejahatannya tidak pernah ada. Bahkan barangkali tidak kedengaran sama sekali.


[10] Orang yang beramal dengan ilmu pengetahuannya

Barangsiapa yang beramal dengan ilmunya, kata-katanya akan membekas. Barangsiapa yang tidak beramal dengan ilmunya, kata-katanya adalah seperti telur burung kasawari yang jatuh dari daun. Maksudnya, kata-katanya tidak memberi manfaat kepada orang lain.

Ada beberapa amalan supaya kata-katanya membekas.

[a] Sentiasa brtahajjud waktu malam, supaya mulutnya masin (cepat makbul)
[b] Sentiasa mewiridkan Ayatul Kursi 18X sehari
[c] Sentiasa berzikir Ya Hayyu YaQayyum 1000X sehari semalam
[d] Sentiasa mengamalkan ayat 5 selepas setiap solat.


[11] Orang yang membelanjakan lebihan hartanya

Dia percaya bahawa harta yang berguna selepas kematiannya ialah harta yang disedekahkan atau yang ditunaikan zakat jika cukup segala syaratnya. Samada untuk anak yatim, pembinaan pondok pengajian, biasiswa, orang-orang fakir dan miskin dan sebagainya. Dia percaya, dalam hartanya, ada HAK untuk mereka.


[12] Orang yang menahan tutur-katanya

Maksudnya, orang yang bercakap sopan pada waktu dia redha atau marah. Dia tidak marah, mencarut, melaknat, menyumpah atau mengeluarkan sebarang perkataan kotor atau keji dalam apapun keadaan. Bila orang marah kepadanya, dia dapat menahan sabar. Dan bila dia marah kepada orang lain, diapun dapat menahan sabar.

Sumber: E-mel (Tidak Diketahui)
 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.