Baru-baru ini, aku telah menerima khabar gembira dari teman baikku. Tiada apa yang aku harapkan selain daripada perkhabaran bahawa dia bakal menimang cahaya mata.
Ternyata, sangkaan aku tepat!. Dia memaklumkan padaku yang isterinya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Syukur, alhamdulillah. Tiada kata yang dapat aku luahkan ketika itu selain memanjatkan rasa kesyukuran yang teramat sangat.
Aku tumpang gembira untuknya. Memang aku tidak menyangka, akhirnya dia berjaya membina sebuah keluarga yang bahagia. Ketika zaman sekolah dahulu, ramai yang memperlekehkan kewibawaan dirinya untuk mengharungi masa hadapan. Maklumlah, orang kita memang suka memandang negatif tentang beberapa perkara dalam aspek kehidupan. Ada diantara mereka memang tidak pernah memahami dan memandang jelek kepada perkara begini.
Walaupun dia pada asalnya mempunyai sifat yang 'berbeza' dari orang lain, namun ianya tidak sedikit melunturkan semangat dirinya untuk terus maju kehadapan. Dia sentiasa berusaha gigih untuk membela nasib diri dan keluarganya. Alhamdulillah, Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Setiap langkah yang diatur, setiap usaha yang dijalankan membuahkan hasil. Berkat segala usaha serta kesabaran inilah dia berjaya mengharungi setiap liku-liku kehidupan sehingga kini.
Aku tabik 'spring' dengan dia! Walaupun dia bukan datang dari keluarga yang berada, mempunyai banyak kekurangan dan sebagainya, namun dia berjaya menjejakkan kaki ke menara gading malah, mampu untuk menjawat jawatan yang tinggi dalam kerajaan. Dia mampu buktikan pada semua bahawa insan 'istimewa' sepertinya tidak pernah berbeza dengan orang lain; mampu membina kejayaan atas usaha sendiri. Dahulu, orang mencaci dan mencerca, kini tidak lagi. Ramai yang 'buka mata' bahawa dia bukan sekadar apa yang mereka fikirkan.
Setiap yang dilakukan, dibuat dengan hati ikhlas. Inilah hasilnya, kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Dan setelah sekian lama, akhirnya dia berjaya mengharungi setiap dugaan. Kini, dia dikurniakan seorang bidadari cantik buat peneman melewati bahtera kehidupan; seorang insan yang baik budi pekerti dan menerima dirinya seadanya. Alhamdulillah!.
Saban hari, tidak putus aku berdoa agar dia dikurniakan kebahagiaan dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Ikatan yang terbina atas dasar cinta dan keikhlasan diperkuatkan dengan kehadiran cahayamata yang sangat comel. Emil si empunya nama, selamat dilahirkan pada 29 Disember yang lepas pada jam 5.05 petang. Semuanya telah selamat dan Emil kini sihat disamping ibu dan juga ayahnya.
Aku ada bertanya pada dia (teman baikku), bagaimanakah perasaan dia ketika ini? Jawapan yang diberikan amat mudah; lega dan tidak terkata. Pengalaman menyambut kelahiran bayi baginya adalah detik yang tidak boleh dilupakan. Kini, dia memahami, mengapa kita sebagai anak harus menghargai pengorbanan seorang ibu ketika melahirkan kita. Kesakitannya, hanya Allah sahaja yang tahu!. Apabila bergelar ayah, banyak persiapan perlu dibuat terutamanya dari segi mental dan fizikal. Bayangkan bayi yang baru lahir, semestinya memerlukan perhatian yang lebih. Berjaga waktu tengah malam itu sesuatu yang biasa bagi ibubapa yang baru menimang cahaya mata.
Alhamdulillah, semoga Emil sihat dan membesar sebagai anak yang soleh. Doaku kepada Allah, moga dia dikurniakan rahmat serta kebaikan di dunia dan akhirat. Moga dia menjadi insan soleh yang dapat berbakti kepada kedua ibubapanya, InsyaAllah.
0 comment:
Post a Comment