Apa guna berkahwin sekiranya si lelaki tidak tahu tanggungjawab dia yang sebenar... Apa guna berumahtangga kalau hidup bersama, rata-rata keperluan; si isteri yang menanggung... Tidak rasa malu kah dengan diri sendiri apabila semuanya diuruskan oleh sang isteri?... Baik keperluan rumah sampai lah kepada keperluan diri sendiri...
Aku tidak faham perangai sesetengah lelaki yang sudah berumahtangga ini... Biarpun sudah berkahwin, segala tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga jatuh ke tangan sang suami... Seharusnya, setiap keperluan isi rumah adalah menjadi tanggungjawab mereka dan ini termasuklah tanggungjawab kepada isteri... Mereka tidak seharusnya mengabaikan isteri yang telah mereka kahwini semata-mata untuk mengejar apa yang mereka inginkan...
Aku bukan mahu memburuk-burukkan kaum lelaki kerana aku sendiri merupakan seorang lelaki... Tapi aku cukup geram dengan segelintir orang lelaki yang 'tidak tahu' dan 'tidak sedar' yang mereka sudahpun melanggar syarat-syarat sebagai seorang suami... Jangan katakan syarat, perkara asas dan terpenting dalam rumahtangga pun mereka sudah abaikan... Aku kasihan melihat para isteri yang selalu memendam rasa (menitis airmata tu, aku tidak pasti... mungkin ada kot) mengenangkan nasib mereka... Dah lah segala keperluan mereka yang tanggung, si suami buat-buat tidak tahu saja... Janji perut kenyang dan keinginan mereka tertunai... Duit gaji yang berkepuk tiap-tiap bulan, disimpan dalam bank... Nafkah yang diberikan kepada isteri, entah kemana... Mungkin mereka (suami) menjangkakan bahawa si isteri bekerja dan mempunyai wang sendiri, tidak perlu diberi nafkah... Itulah satu alasan yang seringkali diguna pakai bila soal nafkah dibangkitkan...
Hakikatnya, walaupun si isteri bekerja, itu tidak bermakna suami tidak perlu memberikan nafkah kepada isterinya... Nafkah TETAP nafkah dan ianya dipertanggungjawabkan kepada suami selepas akad dilafazkan di hari perkahwinan dahulu... Si isteri bekerja bukan untuk mencari wang sendiri tapi sebagai persiapan membantu si suami dan keluarga dalam menjalani kehidupan seharian... Itupun, bukan menjadi kewajipan kepada si isteri dalam mencari nafkah... Sekiranya suami tidak mengizinkan isteri untuk bekerja, maka isteri tidak mempunyai sebarang mata pencarian untuk dirinya sendiri...
Aneh bila aku dapat tahu masih ramai lagi lelaki yang begini... Entah mana yang silapnya... Aku cukup terkejut kerana ada segelintir lelaki yang berumahtangga ini sanggup beranggapan bahawa isteri ibarat 'lombong emas' yang perlu dikaut sehingga habis... Bagi seorang isteri yang sememangnya patuh dan taat kepada perintah suami hanya mampu menelan perit jerihnya... Bayangkan apabila suami tergamak menyakiti hati isteri sendiri dengan menyebut ayat-ayat yang tidak sepatutnya didengar sehingga isteri hampir mengalirkan air mata... Bila dikenangkan balik, apa guna berumahtangga sekiranya suami berfikiran begitu?
Pembiayaan pinjaman rumah, isteri dah tanggung... Kadang-kala makan minum, si isteri terpaksa cari sendiri... Ibarat macam 'kau, engkau.. aku, aku'... Pinjaman kereta pun, isteri yang tanggung juga... Sampai isteri sukar nak bergerak pun, dibebani pula dengan tambahan hutang untuk membeli kereta baru.. Si suami cuma bagitahu apa yang perlu si isteri buat dan membiarkan si isteri terkontang-kanting menguruskan sendiri segala proses jual beli kereta... Tidak pula dia menawarkan diri untuk membantu atau menguruskan bayaran pendahuluan... Jauh sekali nak membayar harga jualan kereta yang tidak seberapa itu... Sungguh tak guna, bukan??...
Bila aku kenangkan semula, seolah-olah selama ini isteri yang banyak keluar duit berbanding suami... Yang suami pula, tak habis-habis nak 'cekau' duit gaji isteri sendiri... Apa kes??... Sepatutnya, dia (suami) lah memberi segala perbelanjaan dan juga nafkah yang perlu isteri terima dan bukan meminta apa-apa dari mereka... Kalau aku, aku dah tak tahu nak letak muka dekat mana dah... Yelah kan, dah hampir semuanya bini yang keluar duit... Nak kata suami tu sengkek, gaji bulan-bulan lebih banyak dan besar dari si isteri... Siap bangga dan bagitahu, "sejak saya kahwin dengan awak, rezeki saya murah dan melimpah ruah untuk DIRI SAYA SENDIRI'... 'What the .....'
Kalau kalian lah kan, apa yang kalian rasa bila pasangan kalian sebut macam tu?... Pasti hati akan terguris kan?
Aku dengar pun, aku dah panas dah... Rasa macam nak lempang je jantan macam ni... Memang tak boleh pakai langsung!... Kedekut tu, jangan cakaplah... Dengan isteri sendiri cukup berkira!... Macam isteri tu orang asing je... Aku pun tidak faham dengan manusia macam ni... Rasa macam dia tak layak untuk berkahwin dan berkeluarga sebab tanggungjawab sendiri pun tidak tahu!... Nak kata tidak pandai agama, sembahyang tonggang-tonggek... Entah apa yang dia baca ketika mendirikan solat selama ini, hanya Allah je yang tahu...
Serius, memang aku bengang dan cukup panas dengan orang macam ni!...