Monday, 21 September 2009

Selepas seharian semalam aku dan keluarga melayan tetamu yang datang berkunjung ke rumah, kini tiba giliran kami pula pergi beraya ke rumah sanak saudara... Kebetulan, banyak rumah sanak saudara aku terletak di sekitar Kuala Lumpur dan tidak menjadi masalah kepada aku untuk membawa ahli keluargaku bertandang ke rumah mereka...

Aktiviti hari ini bermula apabila hampir ke semua pakcik-pakcik dan makcik-makcik aku datang ke rumah aku... Agak terkejut juga kerana pada hari raya kedua, biasanya mereka semua berada di kampung halaman mentua masing-masing... Pada tahun lepas pun begitu; selalunya selepas hari raya ke-3, barulah mereka datang ke rumah untuk beraya... Nasib baik juga lah mak dah bersiap sedia malam tadi; mengukus ketupat segera dan menyiap juadah yang patut... Kalau tidak, memang mereka semua datang makan kuih raya sahaja lah...

Photobucket
Koleksi kuih raya aku... Semuanya dibuat dan dihasilkan sendiri kecuali kerepek-kerepek yang dibeli di pasar tani... Ada juga biskut yang dihadiahkan oleh kawan-kawan...

Apa yang membuatkan aku rasa geli hati, dalam banyak-banyak persiapan, aku tidak sedar bahawa ketulan ais didalam peti sejuk sudah kehabisan... Sudahlah mereka semua datang ketika matahari elok terpacak di atas kepala; keadaan sekeliling amat panas sekali... Rumah aku sendiri pun sedikit berbahang (biasalah, rumah kampung je...) Bila mereka masuk ke rumah, masing-masing sibuk mencari air batu untuk membasahkan anak tekak dan menghilangkan dahaga... Aku yang pada mulanya tidak mengetahui, dengan selamba membuka peti ais (ice box) dan bila aku lihat tiada ais didalamnya, apa lagi; menggelabah la kejap... Terus aku membebel pada adik beradik aku yang sedang sibuk di dapur...

"Tulah kalian, suka sangat letak junk food dalam 'ice box' nih... ni dah penuh sampai air batu pun tak boleh nak buat!!... lain kali, jangan beli benda yang merepek-repek nih..." leter aku pada adik-adik aku... Masing-masing diam membisu; takut kena sembur dengan aku sekali lagi...

Aku capai kunci kereta dan terus bergegas untuk mencari ais ketul di kedai yang berhampiran... Faham-fahamlah kan, hari raya mana ada kedai yang buka... Yang buka pun kedai 24-jam (7-Eleven)... Pulak tu, cawangan yang terhampir dengan rumah aku pula dekat Sentul dan Gombak sana... Nak pergi pun, adalah dalam 15-20 minit memandu (dengan kadar kelajuan 70-80 km/j)... Berpusing-pusinglah aku semata-mata hendak mencari ais... Aku pun tiada pilihan dan terpaksa juga pergi cari untuk bekalan buat tetamu yang datang nanti...

Sampai sahaja di 7-Eleven, seperti yang aku jangka, semua ketulan ais telah habis disambar awal-awal... Yang tinggal cuma saki baki yang melekat pada peti ais tersebut... Terpaksalah aku bergegas mencari di tempat lain... Dari Sentul, aku ke Gombak... Kemudian ke Genting Kelang... Bila semuanya sudah kehabisan stok, aku bekejar pula ke Desa Setapak... Kedua-dua cawangan Desa Setapak pun sudah kehabisan stok... Bayangkan kawasan penempatan Cina pun, ais boleh habis!... Aku teruskan pencarian ke Wangsa Maju dengan harapan stok ais ada di situ... Dan mujurlah cawangan 7-Eleven di Seksyen 1 masih mempunyai stok ais lagi... Mungkin sebab 7-Eleven tu agak tersorok sedikit dan tak ramai yang datang ke sana membeli barangan...

Aku pulang ke rumah dan bila aku sampai, masing-masing sudah selesai menjamu selera... Tak apalah, ais yang aku beli ini boleh digunakan untuk esok, InsyaAllah... Aku terus masuk ke bilik dan bersiap untuk pergi beraya di rumah saudara yang lain pula... Destinasi seterusnya ke Batu Caves; rumah Mak Lang aku... Sempat juga dia balik ke rumah tadi (sebelum tu dia datang beraya di rumah aku...) menyiapkan apa yang patut... Kami sampai pun dah petang dan menghabiskan masa dalam sejam dua disana... Selepas itu, aku dan keluarga berangkat pula ke Ampang untuk beraya di rumah makcik di Lembah Jaya... Setibanya aku di sana, hari sudah Maghrib dan kami menghabiskan masa beramah mesra sehinggalah jam 10 malam... Faham-fahamlah kan, kalau dah jumpa saudara mara... Macam-macam cerita hendak dikongsi bersama... Rasa seronok kerana aku dapat berjumpa dengan sepupu sepapat aku... Walaupun mereka masih muda remaja, tetapi keletah mereka cukup mencuit hati... Tu belum campur dengan anak-anak Mak Su aku lagi... Kalau tak, memang riuh la kemana sahaja kami pergi...

0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.