Petikan oleh Dr. H. M. Tuah
Seorang yang berperibadi kuat seumpama besi waja, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam untuk menghadapi hidup; sebaliknya, seorang yang berperibadi lemah laksana timah apabila terkena api ia akan hancur, apabila terketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai
Ayam kampung perlukan sepuluh orang untuk menangkapnya. Ia akan lari sekeliling kampung. Sepuluh orang mengepung di sana, menghambat di sini, menerpa di sana dan tersungkur di sini, namun ayam kampung masih gagah lari menyelamatkan diri. Setelah berhempas pulas sepuluh orang baru dapat menewaskan seekor ayam. Tatkala ayam itu disembelih, tiba-tiba ia bangkit, berjalan keliling rumah dengan kepalanya sekali-sekala terkulai ke bawah. Ia berjalan lagi hingga akhirnya rebah.Maka tamatlah riwayat seekor ayam kampung.
Seekor ayam bandar (sangkar) dikeluarkan dari dalam sangkar. Ia diletakkan di luar dan dibiarkan lepas. Ayam bandar ini terteleng-teleng, melihat sana, melihat sini. Kemudian dia melangkahkan kaki, masuk kembali ke dalam sangkarnya. Dia tidak pernah tahu bahawa selama mana berada di dalam sangkar semudah itu nyawanya akan melayang, selama mana dia berada di luar peluang untuk dia lari menyelamatkan diri lebih terbuka luas. Itulah berbezanya ayam kampung dengan ayam bandar.
Cabaran hidup telah menjadikan ayam kampung begitu bertenaga, berani dan punya wawasan, sedangkan ayam bandar tidak nampak peluang dan menjadi begitu lemah lagi malas. Kesusahan sentiasa menjadi penunu untuk seseorang itu muncul luar biasa bagus dan hebat sekali, sebaliknya kesenangan pasti akan menyebabkan kelemahan, bukan sahaja tubuh badan kadang-kadang dalam soal peribadahan. Orang yang hidup dalam tekanan adalah umpama besi waja. Ia keras dan sukar dikalahkan. Seseorang yang hidup dalam tekanan dan kepayahan sebenarnya sentiasa lebih kuat dan padu daripada mereka yang hidup dalam kesenangan. Maka itu, seorang yang miskin kadang-kadang lebih hebat peribadinya daripada seorang yang berada. Kekayaan adalah kekuatan dalam kelemahan, sedang kemiskinan kelemahan dalam kekuatan. Jadi, usahlah marah dengan keadaan jika anda tidak tergolong dalam kalangan orang senang.
Pada satu segi anda lebih kuat dan lebih hebat daripada orang senang. Kadang-kadang orang senang terlalu lemah hinggakan untuk menukar kepala paip yang sudah longgar perlukan orang kurang senang untuk melakukannya. Bukan disebabkan dia terlebih wang tetapi benar-benar kerana memang tidak pandai. Orang yang tidak pernah teruja oleh cabaran selalunya menjadi kian lemah sebaliknya orang yang hidup dalam ujian selalu bertambah kuat. Seorang gila selalunya tidak terurus segala hal, dia merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat. Pakaiannya tidak pernah berganti, makan minumnya apa-apa saja yang dijumpai. Tidurnya tidak menentu, tetapi dia kelihatan sihat. Jarang nampak orang gila terlantar sakit, tetapi hospital menjadi tumpuan orang normal dan hidup senang. Usah rasa tidak selesa dengan cabaran sebab cabaran sentiasa memberikan kekuatan. Hanya orang yang lemah akan menganggap cabaran melemahkan.
Cabaran bukanlah nasib malang tetapi ia membuka peluang. Jika peluang tidak terlihat ia tetap bernilai pengalaman. Pengalaman itu tidak ternilai harganya, ia tiada dijual, ia hanya ada pada orang yang mengalami. Semakin kesusahan itu mengetuk, semakin ia membentuk, ibarat seorang tukang emas menempa emas untuk dijadikan perhiasan wanita, semakin diketuk semakin berharga, semakin diketuk semakin tinggi harganya.
Apakah kita seperti emas yang sedang diketuk itu ?
اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم
"Orang Yang Baik Adalah Orang Yang Pernah Melakukan Kesalahan & Belajar Dari Kesalahan Itu Untuk Menjadi Orang Yang Lebih Baik"
------------------------------------------------------------
"YOU can TRY without SUCCEEDING.. But YOU can't SUCCESS Unless YOU TRY"