Tuesday, 2 September 2025

Bila umur meningkat dewasa ini, pelbagai benda dan perkara bermain di dalam fikiran. Apatah lagi, jika umur sudah melepasi 30-an dan masih lagi bujang. Mak ayah dah mula bising bertanya, "Bila lagi nak berumah tangga. Mak dah lama teringin nak menantu dan tengok cucu cucu mak".

Soalan ini juga merupakan soalan cepu emas setiap kali tiba Hari Raya. Makcik pakcik yang datang bertandang kerumah tak pernah putus dan lupa untuk bertanya khabar berita. Dan satu soalan yang keluar dari mulut mereka ialah, "Bila lagi?..."

Dalam Islam, perkahwinan adalah satu akad atau perjanjian yang menghalalkan hubungan seks dan hidup bersama antara lelaki dengan wanita, yang merupakan juga tuntutan agama dan fitrah manusia. Manusia ini dijadikan Allah untuk berpasangan dan setiap individu yang lahir di atas muka bumi ini telahpun diciptakan bersama pasangannya.

Maka berbalik kepada persoalan mak/ayah, makcik pakcik tadi; "Ya memang aku teringin untuk berkahwin. Manusia mana yang tidak mahu? Cuma masalahnya sekarang ini, belum ada calon yang sesuai dan sudi untuk menerima aku menjadi imam mereka".

Mungkin bagi sesetengah orang, kahwin tu kerja yang mudah. Cari sahaja mana mana perempuan, berkenalan dan kalau dah OK, terus ke next level. Aku tak kata benda ni salah, ada je orang yang mengamalkan cara ini dan terbukti berkesan sehingga membawa ke jinjang pelamin. Cuma aku percaya, soal jodoh, soal ajal maut, hanya Allah sahaja yang tahu bila. Kalau aku tak kahwin lagi, maka belum lagi lah tiba masanya. Kenapa nak gelabah kalut tak tentu pasal hanya kerana aku masih membujang sehingga ke hari ini?

Satu lagi, sukar untuk aku memberi komitmen kepada perhubungan dengan seorang wanita sedangkan hidup aku pun masih tak tentu hala. Aku bukan seperti orang lain. Aku sakit! Dan sakit aku ini, bukan semua perempuan yang mampu terima. Jadi, adil kah sekiranya aku sahaja yang mahu berkahwin dan perempuan itu hanya mengikut sahaja? Adil kah bagi dia yang akhirnya terpaksa melayan aku yang sakit ini? Sejak aku kecil, aku tidak suka menyusahkan orang lain apatah lagi bakal isteriku melainkan dia sanggup untuk susah bersama sama aku. Setakat ini, aku sudah mengenali beberapa insan dan tidak pernah sekali pun terkeluar dari mulut mereka yang mereka sanggup terima aku apa adanya. Cuma yang aku dengar, mereka hanya bersimpati dengan aku.

Namun begitu, itu tidak pernah melunturkan semangat aku untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala. Biarlah apa pun yang bakal terjadi, aku tetap gembirakan hati aku ini. Tak pernahpun aku terfikir tentang nak kahwin sebab aku yakin dengan jodoh yg telah ditetapkan. Ada nanti, adalah. Tak perlu nak melompat sana ini tak senang duduk sebab tak kahwin lagi.

Mak pun dah faham dan tak tanya soalan tu dah. Makcik pakcik pun sama. Aku dah terangkan baik baik kepada mereka. Malah ada juga sepupu sepapat aku umur dan masuk 50-an, masih lagi membujang. Nak kata hidup tak senang, ada je harta. Berpangkat juga dan ada rupa! Tapi itulah, soal jodoh ni tetap misteri untuk kita semua.

Wallahu alam.

Sunday, 31 August 2025


Bersua lagi kita. Dah lama aku tinggal laman aku ni, bersawang dah! Hahahaaa...

Hari ini sempena cuti Hari Kebangsaan, aku sempatlah mengambil peluang untuk "lari" sekejap dari kesibukan kerja di pejabat. Pergi bercuti tapi taklah jauh mana, masih lagi dalam kawasan Semenanjung Malaysia.

Destinasi yang dituju ialah ke Penang. Itupun, selepas adik aku membuat permohonan nak bercuti ke Penang sahaja memandangkan dia sedang bercuti panjang. Dalam masa yang sama, dia nak pulang ke kampung. Aku tiada masalah; nak kemana pun boleh asalkan masing masing setuju dan 'enjoy' bila trip berjalan nanti. Dia pun ada bagitau, teringin nak makan Nasi Kandar yang dekat Penang, jadi sebagai abang aku turutkan sahaja pemintaan dia. Kalau ikut plan asal, ingat nak bawa dia berjalan sama ada ke Korea atau Australia (sebab dia apply cuti agak panjang). Tapi kalau dah nak keluar negara ni; perancangan kena betul betul teliti sebab nak elak dari masalah sewaktu dalam trip nanti. 

Lepas tu, perancangan tu terbatal sebab aku tak sempat nak uruskan perihal rawatan rutin aku. Yelah kan, aku ni sakit; nak berjalan tu satu (tiket nak kena beli, nak kena tempah hotel juga dan segala perbelanjaan di sana) dan untuk aku, satu lagi perkara yang wajib aku uruskan ialah rawatan rutin (hospital di sana). Kalau semua perkara ini dapat diselesaikan sebelum berangkat, maka boleh lah pergi. Kalau tidak, aku tak mahu mengambil risiko dan susahkan adik aku pula.

Kadang ada orang tanya aku; "tak susah ke... bila nak berjalan jauh lepas tu dalam masa yang sama aku kena buat rawatan tiga kali seminggu tu?".

Jawapan aku mudah; kalau orang yang tak biasa berjalan dan tak pernah uruskan rawatan dia sendiri di luar negara memang agak susah. Tapi susah susah pun, bukan tak boleh buat/urus, yea. Boleh je sebenarnya. Dan bagi aku hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau nak berjalan, buatlah urusan tu sebab hanya kita sahaja yang tau tentang diri kita dan apa yg patut kita lakukan. Macam aku, aku bernasib baik sebab ada ramai teman teman yang buat rawatan di hospital yang dah buat perkara yang sama (berjalan ke luar negara tapi masih boleh buat rawatan seperti biasa). Pihak hospital pun sangat 'sporting' dan membantu dalam memberikan maklumat dan info yang diperlukan untuk meneruskan rawatan di luar negara. Jadi, tak mustahil untuk pesakit kronik macam aku ni nak berjalan keluar negara.

Berbalik kepada cerita Penang ni, bila planning ke luar negara tak jadi, aku pun plan nak bawa adik aku ni bercuti dalam negara sahaja. Makanya, 'plan' selepas itu ialah nak ke Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu ni adalah salah satu tempat kegemaran aku. Tak tahu lah orang lain; macam aku, pergi beratus kali pun aku tak kisah sebab aku 'enjoy' duduk di sana. Duduk ni maksud aku bukan tinggal tetap di sana, tapi lebih kepada bercuti untuk beberapa hari. Kalau nak duduk tinggal tu, aku lebih suka dan tetap akan tinggal di Kuala Lumpur sahaja. "Orang Bandar" lah katakan... Hahahahaaaaa...

Makanya, aku pun cadangkanlah dekat adik aku ni yang aku nak bawa dia pergi KK tu. Dia pun bagitau, dia OK sahaja sebab rasanya mana mana tempat pun tak jadi masalah sebab dia memang nak bercuti dan 'dis-stressed' diri dia. Aku pun terus buat perancangan yang sepatutnya seperti tiket penerbangan, hotel dan sebagainya. Masa tu hati dah 'excited' sebab nak pergi bercuti lagi (aku memang tak boleh kalau dapat bercuti, 'excited' lain macam tau! Hahahahahaaaaa...)

Bila hotel semua dah urus, tinggal tiket 'flight' dengan kereta sewa sahaja, tiba tiba adik aku cakap boleh tak kita pergi Penang sebab teringin pula Nasi Kandar situ. Sebelum tu dia tanya aku dulu; dah 'booking' ke hotel dengan 'flight' ? Memandangkan dia buat permintaan pada aku, aku pun bagitau yang aku tengah uruskan hospital dekat KK tu. Tapi masalahnya, pihak hospital di KK tak bagi jawapan awal jadi aku tak pasti 'confirm' ke tak. Macam hotel tu boleh je batalkan sebab aku cuma 'reserve' sahaja, belum buat apa apa bayaran lagi dan kalau batalkan awal, tiada bayaran yang dikenakan. Tiket penerbangan memang tak beli lagi selagi tak dapat pengesahan dari pihak hospital. Semua tu boleh buat dalam masa yang singkat sebab tiket sentiasa ada untuk mereka yang hendak ke KK.

Perancangan ke KK akhirnya tak jadi dan ditukarkan pula ke Penang. Masa tu, aku tak tunggu lama, terus buka laman sesawang cari hotel penginapan kami nanti di Penang. Adik aku ni tiada pilihan khusus nak duduk hotel mana dan lebih suka ikut aku sahaja. Aku pula; kalau boleh nak bawa dia dan bagi dia berehat dengan tenang dan puas (sebab dia dah kerja tak tentu masa dan terlalu letih... kesian dekat dia) jadi aku ingat nak bawa dia tinggal dekat hotel yang best. Asalnya, aku nak buat tempahan dekat Angsana Teluk Bahang tu sebab hotel tu baru dan seronok. Bilik besar dan luas serta mengadap laut yang sangat cantik! Adik aku ni pun pernah sebut pasal hotel ni bila dia tengok gambar gambar yang aku ambil masa tinggal di hotel tu bulan Julai lepas (waktu sambut hari kelahiran aku sorang sorang). Lepas tu, aku ada teringat pasal Hard Rock Hotel Penang dan dia pun cakap "bestnya hotel ni..." jadi mesti dia teringin juga nak tinggal dekat Hard Rock Hotel!

Fikir punya fikir, aku ambil keputasan untuk tinggal di Hard Rock sahaja untuk bagi pengalaman tu dekat adik aku. Angsana Teluk Bahang tu boleh pergi lain kali sebab aku plan nak bawa dua orang rakan baik aku tu ke Teluk Bahang. Waktu tu, kalau ada kesempatan, InShaa Allah aku bawa lah adik aku sekali nanti. OK je kan?

Pagi tadi dalam pukul 10 lebih, aku bertolak dari rumah pergi jemput adik aku dekat rumah sewa dia. Memang kami sengaja bertolak lewat sikit sebab risau adik aku ni terlajak tidur (ada cerita disebalik ini... Hahahaa) dan dia sendiri yang 'request' nak bertolak masa tu sebab risau takut aku tunggu lama dekat bawah. Hahahaa...

Perjalanan tadi lancar, kereta banyak tapi tak sesak walaupun hari ni cuti umum sempena Hari Kebangsaan. Mungkin orang ramai yang ingin berjalan dah bertolak awal (Jumaat dan Sabtu) makanya jalan pun lancar. Dalam kereta, kami banyak berbual sambil layan 'view' lebuhraya ke Utara Semenanjung. Dari KL sampailah ke Penang tak henti bercakap. Kadang aku kesian adik aku ni; ada gak tanya dia.. kalau berjalan kalau tak pandu kereta, akan tidur ke dalam kereta? Dia maklumkan kat aku biasanya dah separuh jalan tu dia akan tidur sebab mengantuk (dia memang cepat ngantuk). Tapi kali ni dia tak tidur dan teman aku memandu sampailah ke Penang. Mungkin kali ni, mata dia segar dan tak rasa nak tidur kot.

Bila sampai Penang, dah petang (aku 'drive' pun santai santai dan tak laju). Bila nak masuk hotel, biasalah waktu cuti umum, orang ramai bercuti dan akan berjalan kan. Hotel akan penuh! Bila hotel penuh; maka tempat letak kereta pun penuh lah. Aku pulak, malas nak parking luar sebab bawak beg tarik. Jenuh nanti nak kena angkat dan sorong beg tu. Roda dia bising! Jadi, aku pun tunggu lah sekejap dengan harapan ada tetamu hotel yang akan 'drive' keluar (konsep siapa cepat dia dapat masa tu) sebab aku tak 'reserve' parking pun masa buat tempahan bilik sebelum ni. Mungkin di masa akan datang, aku patut buat tu supaya senang kalau pape hal.

Bila dah dapat 'parking', terus ke kaunter untuk 'check-in'. Bila dah selesai, terus naik bilik.








Masuk masuk je, adik aku adalah orang yang paling 'excited' sebab dia tak pernah duduk hotel lima bintang lagi. Punya lah seronok dia tengok bilik tu dengan 'view' laut. Masa tu dah petang, dah nak 'sunset' pun. So bayangkan lah cantik dia macam mana! Aku bersyukur sebab dia seronok dan suka. Semoga dapat berehat dengan aman hari ini dan malam malam seterusnya.

Waktu malam, dekat kawasan lobi hotel pihak hotel ada sediakan tempat santai dan ada pentas kecil untuk persembahan 'live band'. Dah nama hotel pun Hard Rock, kan. Mustahil tiada muzik dan lagu lagu didendangkan kepada tetamu hotel yang menginap. Memang 'best' tadi layan lagu sambil duduk bersantai. Cuma pada aku, persembahan macam ni eloklah dimulakan selepas azan Maghrib/waktu solat untuk menghormati tetamu yang beragama Islam. Bukan apa, kau terpekik terlolong 'time' orang tengah azan Maghrib kot; tak sensitif ke tentang perkara camni? Ni bukan Hawaii ke, Miami ke yang tiada azan dan umat Islam berdekatan.









Dah habis tu, kami naik bilik pastu macam biasa lah. Lapar! Nak keluar pergi makan, sah sah nanti takkan dapat 'parking' (sebab datang tadi dah berebut parking!). Makanya, kami order "room service" sahaja. Senang.

Begitulah kisahnya. Aku harap adik aku 'enjoy' lah trip kali ini sebab ni pertama kali dia ikut aku bercuti bersama. Kalau sebelum ni, susah nak bercuti memandangkan jadual kerja dia yang tak tentu masa. Kejap kerja pagi, kejap kerja petang. Lepas tu masuk 'mid-night'. Waktu dia 'off-day' memang dekat rumah tu dia tidur jelah sebab dah letih bekerja. Memang kadang tu dia sendiri tak cukup rehat sampai selalu sangat jatuh sakit!

Friday, 15 November 2024

Bertemu kembali.

Saja nak share, sebenarnya dah lama aku terfikir untuk start berjalan semula apatah lagi berjalan ke luar negara. Rasa geram je tengok kawan kawan terbang kesana kemari tanpa sekatan dan halangan. 

Yang aku ni; dengan tak padan sakitnya! Tergedik gedik teringin nak naik kapal terbang semula.

Betul lah orang cakap, bila kita berniat tu; kita berdoa InShaa Allah kalau dah memang rezeki akan dapat juga kan. Dalam konteks aku ni, aku pun asalnya tak yakin boleh ke tak nak pergi berjalan. Banyak benda aku fikir dan salah satunya ialah bajet. Maklumlah, kalau sekadar nak pergi negara macam Indonesia, Thailand tak jadi masalah sebab tukaran mata wang asing masih OK dan mampu lagi buat aku. Duit Malaysia jauh lebih tinggi berbanding duit mereka tu.

Namun, aku masih tidak meneruskan hasrat untuk berjalan sebab aku risau dan takut apa apa terjadi dekat aku sewaktu di luar negara nanti. Tak pasal pasal nanti kecoh pula satu syarikat tempat aku bekerja yang aku dimasukkan ke hospital di luar negara. 

Tapi kan, aku tak tau kenapa hari ini; sedar sedar aku dah sampai Jepun! 








Eh; macam mana aku boleh berada dekat sini? Dah lah tu, aku pergi seorang diri tanpa ada siapa siapa menemani aku. Bila dah sampai Tokyo, aku naik keretapi laju mereka (Shinkansen) terus ke Osaka untuk bertemu dengan semua kawan kawan aku di sana. 

Dorang pergi awal beberapa hari sebelum aku sebab dorang nak pergi tempat pergunungan di Hakuba. Aku bukan tak boleh ikut, tapi disebabkan aku perlu bergantung kepada rawatan rutin (3 kali seminggu tu), aku terpaksa batalkan hasrat untuk ikut ke Hakuba. Dekat Hakuba memang tak ada tempat rawatan khas untuk penyakit aku ni. Aku hanya terbang beberapa hari selepas tu pun sampai Tokyo, terus ke Osaka untuk bertemu dengan yang lain.







Pengalaman aku berjalan ke negara matahari terbit sangatlah mengujakan. Aku sendiri terkejut dengan kemampuan aku ketika ini. Ingatkan aku hanya separuh jalan sahaja, tapi alhamdulillah sampai juga ke tempat yang dituju.







Jepun merupakan negara yang seronok untuk dikunjungi. Tempatnya bersih (susah nak jumpa sampah bertaburan atas jalan, yea...) Macam hari ini dah nak masuk musim luruh. Dah start sejuk. Nyaman je rasanya. Seronok betul hati ini dapat berjalan kembali macam biasa. 

Bila berada di sini, tak usah cakaplah! Perkhidmatan awam dia tip-top! Semua canggih dan on-time! Kalau kita kan, akan risau macam mana nak berkomunikasi dengan orang disini. Sebenarnya tak susah pun; ada je translator. Pakai je benda tu kalau nak berkomunikasi. Di stesen stesen tren dorang pun, papan tanda pun bukan 100% bahasa Jepun. Masih ada bahasa Inggeris yang digunakan. Dan kau kalau dah sampai sini, susah nak sesat asalkan kau tau baca Google Maps dan search Google. Hampir 100% tepat yea.






Pengalaman sungguh! Lepas ni nak plan untuk datang waktu musim Sakura nanti. Pasti cantik!

Saturday, 31 August 2024

 



Selamat Hari Kebangsaan pada semua pembaca pembaca saya!


Wednesday, 1 February 2023

Kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan....


Semoga Wilayah Persekutuan terus kekal aman dan makmur!

Imej:  Ihsan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Sunday, 22 January 2023

To my readers and friends who's celebrating,


Stay safe!


Tuesday, 17 January 2023

Bersua kembali.

Mesti ramai yang pernah dan tahu apa itu program loyalti. Alah, kalau kita membeli sesuatu barangan atau menggunakan produk itu berulang kali, biasa kita akan ditawarkan dengan program loyalti yang disediakan oleh syarikat yang memberi perkhidmatan atau menjual produk tersebut.

Ia merupakan satu langkah untuk "mengekalkan" pelanggan sedia ada dengan terus menawarkan pelbagai promosi, diskaun atau hadiah percuma yang membuatkan pelanggan berasa gembira dan terus membeli mahupun menggunakan produk serta perkhidmatan mereka. Secara tidak langsung, konsep "pelanggan setia" akan tercipta di dalam kelompok pengguna produk berkenaan.

Macam aku, bohonglah kalau aku katakan aku tidak melayan benda benda macam ni. Kalau dibuka dan diselak dompet tu, bertabur pelbagai kad program loyalti. Sampaikan kocek dompet tu dah tak muat nak simpan! Lawak sungguh.

Sekarang; dah canggih! Tak perlu simpan dah kad physical lagi. Semua mmg sudah tersedia dalam bentuk e-wallet. Mudah dan senang untuk dibawa kerana hanya perlu disimpan di dalam telefon bimbit sahaja. Begitulah perubahan yang terkini berlaku kepada program loyalti ini.

Apa yang menarik ialah, kadang tu tawaran yang diberi memang sangat bagus! Bayangkan kalau menjadi ahli, untuk kali pertama mendaftar, ada yang menawarkan baucar percutian semalam di hotel hotel terkemuka. Itu kalau mendaftar program loyalti untuk hotel lah. Kadang, bila nak 'check-in' dorang terus upgrade bilik hotel kepada yang lebih selesa. Mau tak nak accept ?!!

Selain dari itu, ada juga yang menawarkan barangan atau produk keluaran syarikat seperti bahan makanan, barang kecantikan diri, beg atau pakaian dan sebagainya. Dan memandangkan ada barangan yg menarik, orang Malaysia kita ni lebih senang "jatuh hati" dan tertarik untuk terus menganggotai program loyalti yang ditawarkan.

Apa pun, semua ini terserah kepada pengguna. Ada juga jenis yang tidak suka nak 'join' mana mana program sebab kesukaran mereka untuk meneruskan program tersebut. Ada tu, rimas sebab selalu menerima panggilan dan emel emel berkaitan promosi terkini. Aku sendiri pun kadang tidak suka sebab terlalu banyak sangat "product push" dalam emel aku. Semak je!

Monday, 16 January 2023

"Healing".

Apa itu "healing"? 

Sekarang, semakin ramai yang menggunakan perkataan ini dan ianya semakin popular di kalangan netizen sekalian. Baik yang muda mudi malah di kalangan yang berusia; mesti sesekali kita akan mendengar mereka akan menyebut perkataan "healing" di bibir mereka.

Tapi yang sebenarnya, adakah anda tahu apa maksud perkataan "healing" tersebut?


Merujuk kepada kamus Dictionary Oxford language; "healing" bermaksud:

"the process of making or becoming sound or healthy again" ataupun "tending to heal; therapeutic" atau dalam erti kata yang lain, "a healing experience".

Ya, itulah maksud sebenar "healing" dimana ia diguna pakai paling banyak dalam konteks perubatan dan kesihatan. Namun, sesuatu perkataan itu bukanlah tertumpu pada satu maksud sahaja malah ia boleh juga diguna dalam konteks yang lain. 

Kita juga ada mendengar terma seperti "emotional healing" di mana ia adalah proses mengakui, membenarkan, menerima, menyepadukan, dan memproses pengalaman hidup yang menyakitkan dan emosi yang kuat. Ia mungkin melibatkan empati, pengawalan diri, belas kasihan diri, penerimaan diri, kesedaran dan integrasi.

Agak berat juga kalau melibatkan emosi dan perasaan ini namun bagi mereka yang berada di dalam situasi di mana hati telah terluka, patah hati, kecewa dan sebagainya semestinya tahu maksud emotional healing tersebut. Ia sememangnya agak berat untuk difahami oleh individu yang lain yang tidak mengalaminya kerana mereka tidak berada di situasi tersebut.

Terdapat banyak cara untuk kita "heal"kan diri. Ada di antaranya dengan melakukan aktiviti yang mereka paling suka contohnya pergi melancong. Ya benar, melancong juga dapat "heal"kan diri kita dalam misi mencari ketenteraman dalam hidup. Bila fikiran kita kusut dan serabut dengan pelbagai masalah, pergi lah ke tempat yang boleh "heal"kan minda dan perasaan kita. Tempat tempat seperti tanah tinggi, pantai atau pulau adalah paling sesuai untuk seseoran itu "heal"kan perasaan. Dalam masa yang sama, badan juga dapat direhatkan dan "recharge" semula.

Ada orang, cara mereka "heal" ialah dengan pergi berhibur. Berkaraoke, berbasikal, memandu ke kawasan desa malah, ada yang sekadar berjogging atau "brisk walk" di taman taman rekreasi. Itu juga merupakan satu "healing" process yang boleh dilakukan tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Apa pun terma yang digunapakai, ia tetap membawa erti serta maksud yang sama iaitu kembali kepada asal dan sedia kala. Biar serumit mana sekalipun situasi yang dihadapi, kita seharusnya mencari jalan untuk memulihkan diri dan perasaan kita, dalaman serta pemikiran agar hidup kita kembali tenang tanpa sebarang rasa negatif. Jika tidak, ia akan menjadi toksik yang akan memakan diri secara perlahan lahan.

Penting bagi seseorang itu untuk kembali kepada fitrah azali kerana setiap manusia yang dijadikan Tuhan dan lahir di dunia ini adalah bersih dari segala sifat negatif. Jika ada yang sebaliknya, maka individu tersebut perlu di"healing"kan dan melalui proses agar dia benar benar "heal" dari sifat sifat tersebut.

Wallahualam.

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.